Biografi Syeikh Jalaluddin Al-asyi
Kesinambungan Aktiviti Ulama Aceh
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
KHUSUS tentang artikel hari ini, saya
mulai daripada sebuah manuskrip salinan Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf
Terengganu pada 8 Zulhijjah 1413 H/9 Jun 1992 M di Kampung Pusin, Jala.
Haji Mahmud mencatat bahawa As-Syeikh
al-‘Alim al-Allamah al-Faqih Jalaluddin walid (ayah) al-‘Allamah
asy-Syeikh Muhammad Zain al-Asyi.
Tarikh 14 Safar 1413 H/13 Ogos 1992 M,
ketika saya diberi kepercayaan meneliti manuskrip nadir dan
mengkatalogkan khazanah di Muzium Islam Pusat Islam, terjumpa pula
beberapa manuskrip karya beliau.
Ternyata nama ayah beliau yang tertulis
pada kitab Jam’u Jawami’ al-Mushannafat telah keliru cetak. Pada
manuskrip karya beliau yang berjudul Hujjat al-Balighah, tertulis nama
lengkapnya iaitu Faqih Jalaluddin ibnu asy-Syeikh Kamaluddin ibnu
al-Qadhi Baginda Khathib at-Tarun Pasir.
Yang berbeza ialah nama Jalaluddin (pada
Jam’u Jawami’ al-Mushannafat) dan Kamaluddin (pada Hujjah
al-Balighah). Kegiatan pendidikan Islam, dakwah dan penulisan kitab
yang pernah dilakukan oleh Syeikh Faqih Jalaluddin disambung oleh anak
beliau Syeikh Muhammad Zain yang mempunyai banyak karangan di antaranya
Bidayatul Hidayah.
Masih ditahap penelitian, kemungkinan
Syeikh Sirajuddin juga anak Syeikh Faqih Jalaluddin. Informasi pada
mukadimah ini saya simpulkan bahawa sama ada Faqih Jalaluddin sendiri
mahu pun anak beliau Syeikh Muhammad Zain, juga Syeikh Sirajuddin
adalah sama-sama penting dan perlu pengemaskinian pendokumentasian
tentang mereka.
PENDIDIKAN
Dipercayai ayah beliau ialah Syeikh
Kamaluddin dan datuk Qadhi Baginda Khathib at-Tarun Pasir, kedua-duanya
adalah ulama besar, terkenal dan berpengaruh di Aceh pada zamannya.
Oleh itu Faqih Jalaluddin menerima pengajian Islam tradisional daripada
kedua-duanya.
Bagaimanapun dipercayai bahawa beliau
juga belajar dengan beberapa orang ulama terkenal di Aceh yang lainnya.
Dalam sebuah kitabnya ada dicatatkan bahawa beliau menerima Tarekat
Syathariyah dan Tarekat Qadiriyah daripada gurunya Arif Billah Baba
Daud bin Ismail al-Jawi bin Agha Mustafa ar-Rumi.
Beliau ini adalah murid Syeikh Abdur
Rauf bin Ali al-Fansuri. Baba Daud bin Ismail al-Jawi inilah orang
pertama menyalin tafsir al-Quran yang ditulis oleh gurunya itu, dan
beliau pula yang menyelesaikan tafsir itu sehingga menjadi lebih
lengkap dan lebih sempurna.
Memerhatikan sangat rapat dan mesranya
hubungan antara Syeikh Faqih Jalaluddin dengan gurunya, Baba Daud
al-Jawi itu, sedangkan Baba Daud al-Jawi pula adalah murid kepercayaan
Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, maka diyakini bahawa Syeikh Faqih
Jalaluddin sempat pula menerima ilmu-ilmu dari Syeikh Abdur Rauf bin
Ali al-Fansuri secara langsung.
KARYA DAN PEMIKIRAN
Kemudian Faqih Jalaluddin melanjutkan
pelajaran ke India dan Mekah. Oleh sebab Syeikh Faqih Jalaluddin
seorang ulama besar Aceh pada zamannya, maka beliau dilantik sebagai
Kadi Malikul Adil dalam masa pemerintahan Sultan Alauddin Maharaja Lela
Ahmad Syah (1139 H/1727 M – 1147 H/1735 M) juga pada masa pemerintahan
Sultan Alauddin Johan Syah (1147 H/1735 M -1174 H/1760 M).
Aktiviti Faqih Jalaluddin selain sebagai
menjadi pengarang beberapa buah kitab, dipercayai juga merupakan
seorang ulama yang berpengaruh di istana kesultanan Aceh. Selain itu
Sultan Aceh, iaitu Sultan Alauddin Ahmad Syah sentiasa merujuk sesuatu
perkara kepada beliau. Mungkin sultan yang tersebut, bahkan termasuk
keluarga istana adalah murid Faqih Jalaluddin itu.
Karya Faqih Jalaluddin yang pertama
diberi judul Hidayah al-Awam Pada Menyatakan Perintah Agama Islam.
Kitab ini adalah tentang fiqh yang ringkas. Pada mukadimah Hidayah
al-Awam, Syeikh Faqih Jalaluddin bahawa,”… pada hijrah Nabi seribu
seratus empat puluh, pada lima hari bulan Muharam (5 Muharam 1140 H/23
Ogos 1727 M, pen:) zaman Paduka Seri Sultan, yang besar kerajaannya,
lagi yang maha tinggi darjatnya, iaitu Sultan Alauddin Ahmad Syah Johan
berdaulat Zhillullah fi al-Alam, adamullahu daulatahu, Amin, maka
tatkala itu meminta kepada faqir yang hina Khadim al-Ulama (yang
berkhidmat pada ulama), Haji Jalaluddin… oleh seorang sahabat raja itu,
yang takut akan Allah Taala, bahawaku suratkan baginya suatu risalah
yang simpan (maksudnya: risalah yang ringkas, pen:). Maka aku namai
akan dia Hidayah al-‘Awam …”
Selain ilmu fiqh yang ringkas Faqih
Jalaluddin al-Asyi juga menulis ilmu fiqh yang tebal dan lengkap yang
diberi judul Safinat al-Hukkam fi Talkhish al-Khisham, dimulakan
penulisannya bulan Muharam, hari Jumaat 1153 H/1740 M. Kitab ini
dikarang atas perintah Sultan Alauddin Johan Syah. Barangkali kitab
inilah yang terbesar di antara karyanya.
Naskhah masih berupa tulisan tangan.
Kandungannya fiqh menurut Mazhab Syafi’ie, membicarakan
istilah-istilah, peringatan untuk golongan hakim yang zalim dan
beberapa kaedah, semuanya tersebut pada mukadimah.
Termasuk dalam kategori ilmu fiqh juga
ialah karya beliau judul Hujjah al-Balighah ‘ala Jama’ah al-Mukhasamah.
Pada mukadimah Faqih Jalaluddin menulis: “Ada pun kemudian dari itu,
maka tatkala Hijrah Nabi s.a.w seratus lima puluh delapan tahun,
kemudian daripada seribu pada empat hari bulan Muharam, waktu Dhuha,
hari Sabtu (4 Muharam 1158 H/1745 M) zaman Saiyidina wa Maulana Paduka
Seri Sultanah Alauddin Jauhar Syah, Syah Berdaulat Zhillullah fi
al-Alam, telah meminta kepadaku setengah daripada kekasihku, salah
seorang daripada pengawal sultan yang tersebut itu, bahawa ku suratkan
baginya risalah yang simpan pada menyatakan dakwa, dan baiyinah, dan
barang yang bergantung dengan keduanya. Ku perkenankan pintanya, dan ku
suratkan baginya risalah ini …”
Pada penghabisan kitab beliau mencatat,
Tamat al-kitab Hujjah al-Balighah ‘ala Jama’ah al-Mukhasamah karangan
faqir yang hina Faqih Jalaluddin ibnu asy-Syeikh Kamaluddin ibnu
al-Qadhi Baginda Khathib at-Tarun Pasir… pada 27 Rabiulakhir, waktu
Dhuha pada zaman Alauddin Jauhar Syah, pada hijrah seribu seratus lima
puluh delapan tahun… (27 Rabiulakhir 1158 H/1745 M).
Karya Faqih Jalaluddin al-Asyi dalam
bidang tasawuf pula sekurang-kurangnya terdapat dua judul ialah Manzhar
al-Ajla ila Martabah al-A’la. Salah sebuah salinan manuskrip
diselenggarakan oleh Tuan Guru Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf
Terengganu, selesai penyalinan pada tahun 1273 H/1856 M. Kitab Manzhar
al-Ajla …, Faqih Jalaluddin Aceh tersebut diselesaikan pada tahun 1152
H/1739 M. Beliau nyatakan bahawa beliau dititah oleh Sultan Alauddin
Johan Syah ibnu as-Sultan al-Marhum Ahmad Syah.
Karya Tasawuf
Karya tasawuf judul yang lain pula
ialah Asrar as-Suluk ila Malail Muluk. Dalam naskhah tidak tersebut
nama pengarang tetapi dapat dipastikan sebagai karya Faqih Jalaluddin
al-Asyi adalah berdasarkan salasilah pada kalimat, “… telah mengambil
zikir, dan talkin, dan khirqah, dan khalifah, fakir yang mengarang
risalah ini daripada syeikhnya yang ahli az-zauq, lagi Arif Billah,
iaitu Syeikh Daud ibnu Ismail qaddasallahu sirrahu, dan ia mengambil
dari (Syeikh) Abdur Rauf …”
Bererti pengarang adalah murid Baba
Daud ibnu Ismail ar-Rumi, bahawa perkara ini juga disebut oleh Faqih
Jalaluddin bin al-Asyi dalam karyanya Manzar al-Ajla …
Kandungan keseluruhannya membicarakan
tasawuf peringkat tinggi dan berbagai-bagai tarekat. Disebutkan bahawa
asal tarekat dalam dunia ada empat belas, semua nama tarekat disebutkan
secara terperinci.
Dari kelima-lima karya Faqih Jalaluddin
al-Asyi yang dijumpai dapat diketahui dengan jelas bahawa beliau
mengarang adalah atas permintaan daripada sultan.
Dari maklumat ini dapat kita ambil kira
bahawa buah fikiran beliau sebagai seorang ulama besar pada zamannya
sangat diperlukan oleh pihak kerajaan. Pada bahagian mukadimah kitab
Hujjah al-Balighah, Syeikh Jalaluddin al-Asyi menampakkan dirinya
sebagai seorang ulama yang tegas, bahawa undang-undang kadi menurut
ajaran Islam mesti dilaksanakan.
Hujjah al-Balighah beliau ertikan
dengan “kata yang tiada berlawan.” Untuk melaksanakan perkataan yang
tidak boleh dilawan itu beliau mentertibkannya atas tiga bahagian,
iaitu:
1. Pada menyatakan kadi dan barang yang bergantung dengannya.
2. Pada menyatakan dakwa dan baiyinah dan barang yang bergantung dengannya.
3. Pada menyatakan saksi dan sumpah dan barang yang bergantung dengannya.
Faqih Jalaluddin menafsirkan hadis Nabi
s.a.w. yang maksudnya bahawa kadi itu tiga perkara, dua perkara isi
neraka dan satu perkara isi syurga.
Kata beliau: “Maka dua perkara isi
neraka itu iaitu; Pertama kadi yang jahil, tiada baginya ilmu, jikalau
mufakat hukumnya itu dengan kebenaran sekali pun tiada jua sah hukumnya
itu dengan sebab meninggalkan daripada belajarnya …” Mengenai perkara
ini beliau kemukakan dua hadis Nabi s.a.w. sebagai dalilnya.
Satu diantaranya, menurut beliau lafaz
di bawah ini adalah hadis, iaitu: “Barangsiapa tiada guru baginya maka
syaitanlah gurunya.” Sabda Nabi itu beliau tafsirkan, barangsiapa ada
gurunya itu syaitan, maka tiada lagi syak akan dia isi neraka.
Kadi jenis yang kedua, menurut Faqih
Jalaluddin al-Asyi, ialah: “Yang alim, yang ia tiada menghukum seperti
yang dalam ilmunya … “Kadi golongan yang ketiga ialah: “Yang alim, yang
ia menghukum seperti hukum yang dalam ilmunya.”
Setelah itu, Faqih Jalaluddin al-Asyi
memberikan peringatan, katanya, “Ingat-ingat kiranya yang memberi
fatwa, maka adalah bahaya yang besar pada memberi fatwa itu belum lagi
tahqiq sesuatu masalah daripada hadis, dan dalil, atau daripada kitab
segala ulama. Maka janganlah difatwakan sekali-kali akan dia …”
KETURUNAN DAN KESIMPULAN
Keturunan Faqih Jalaluddin yang lengkap
masih dalam penyelidikan. Apa yang pasti anak beliau yang menjadi
ulama besar dan menghasilkan beberapa karangan ialah Syeikh Muhammad
Zain al-Asyi. Keturunan Syeikh Muhammad Zain al-Asyi selanjutnya belum
dapat maklumatnya.
Ada lagi seorang ulama Aceh, Sirajuddin
bin Jalaluddin al-Asyi, belum jelas apakah beliau juga adalah anak
Faqih Jalaluddin bin Kamaluddin al-Asyi yang diriwayatkan ini. Hanya
dua karangan Syeikh Sirajuddin bin Jalaluddin al-Asyi yang dijumpai,
masih dalam berupa manuskrip.
Sebuah koleksi yang tersimpan di Pusat
Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia, nombor kelasnya MS 1530,
belum diketahui judul, kerana pengarangnya Syeikh Sirajuddin bin
Jalaluddin al-Asyi tidak menyebut tentang itu.